Cerpen Legasi Tapai Ubi : Sinopsis, Tema, Persoalan, Nilai & Pengajaran

Cerpen Legasi Tapai Ubi Sinopsis Tema Persoalan Nilai Pengajaran

Salah satu bahagian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu adalah Komponen Sastera yang menguji kemampuan pelajar untuk membaca dan memahami karya-karya penulisan yang ditugaskan. Di peringkat sekolah menengah, pelajar perlu mencapai tahap untuk mengkaji penulisan karya dan memberikan huraian terhadap bahan bacaan tersebut. Oleh itu, di bawah dikongsikan nota Cerpen Legasi Tapai Ubi merangkumi Sinopsis, Tema, Persoalan, Nilai, watak, plot & Pengajaran sebagai panduan untuk semua.

Dr. Ghazali Lateh merupakan penulis karya cerpen Legasi Tapai Ubi. Beliau yang memulakan kerjaya sebagai guru dan kini sebagai pensyarah juga menulis karya lain dalam bentuk puisi, esei dan juga novel. Hasil karyanya telah berjaya mendapatkan  pengiktirafan seperti tempat pertama Pertandingan Menulis Puisi Selangor, 2003, Tempat Kedua Hadiah Sastera Berunsur Islam ke IX dan buku Semanis Kyuho pula memenangi Hadiah Sastera Utusan, 2015 disamping menjadi Sidang Pengarang International Journal of Education and Training.

Nota Cerpen Legasi Tapai Ubi : Sinopsis, Tema, Persoalan, Watak, Plot, Nilai & Pengajaran

Berikut dikongsikan nota-nota berkaitan Cerpen Legasi Tapai Ubi : Sinopsis, Tema, Persoalan, Nilai & Pengajaran. Anda boleh membuat rujukan sebelum menghadapi ujian atau peperiksaan di sekolah.

Tema

Cerpen ini bertemakan kesungguhan seorang anak kepada peniaga tapai ubi untuk membuktikan bahawa makanan tradisional itu mampu menjadi penawar kepada penyakit berbahaya.

Persoalan

1) Persoalan pengorbanan ibu dan bapa dalam memastikan anak-anak ke sekolah sehingga ke menara gading 

  • Wak Salikon dan isterinya tanpa jemu mengusahakan perniagaan tapai ubi sehingga mampu menghantar anak-anaknya ke universiti

2) Persoalan ketelitian dalam membuat sesuatu kerja

  • Emak dan bapa Parjo menghasilkan tapai ubi dengan penuh teliti serta mematuhi pantang larang yang perlu diikuti

3) Persoalan ketaatan seorang anak kepada ibu dan bapa

  • Parjo mengikuti arahan untu membawa tapai ubi untuk dijual ke pasar pada waktu pagi

4) Persoalan bercita-cita tinggi demi kemajuan masa hadapan

  • Wak Salikon bercita-cita untuk memajukan perniagaannya sehingga berjaya membuka sebuah kilang perusahaan

5) Persoalan membalas jasa ibu dan bapa dan menghargai mereka

  • Parjo menjawab soalan wartawan bahawa ibu dan bapanya dalah sumber inspirasi kejayaannya dalam membuat kajian tentang tapai ubi sebagai salah satu makanan yang dapat mengurangkan risiko kanser

Sinopsis

Parjo yang merupakan watak utama dalam cerpen ini telah membantu emak dan bapanya menjual tapai ubi sejak kecil lagi. Apabila disebut sahaja “Tapai Ubi Wak Salikon” semua orang tahu sehinggakan rakan sekolah Parjo menggelarnya Parjo Tapai. Untuk membuat tapai ubi, prosesnya agak rumit kerana banyak pantang larang yang perlu dipatuhi. Antaranya adalah tidak boleh memberitahu orang semasa membuat tapai dan elakkan daripada terkena kotoran atau minyak dan tidak boleh membuat bising kerana dikhuatiri tapai tidak menjadi.

Hasil daripada jualan tapai ubi, Parjo dan adik-adiknya berjaya dalam pendidikan sehingga ke menara gading. Parjo misalnya berjaya melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan selepas menamatkan pembelajaran mastrikulasi selama dua tahun. Professor Haidar telah memberikan tugasan kepada Parjo untuk membuat kajian tentang kesan tapai ubi dalam mengurangkan serangan kanser. Parjo yang melakukan kajian dengan teliti telah berjaya membuktikan tapai ubi dapat menghasilkan bakteria yang bermanfaat kepada manusia iaitu bakteria yang menghalang pertumbuhan sel-sel kanser. Hasil kajian Parjo telah diiktiraf oleh pihak universiti dan telah dibawa ke peringkat antarabangsa.

Parjo berjaya menamatkan pengajiannya dan mendapat gelaran Doktor Falsafah atas kajian bertajuk “Tapai Ubi Sebagai Age Penghalang Kanser”. Dr. Parjo teleh membawa emak dan bapanya menghadiri majlis konvokesyennya. Mereka berdua merupakan inspirasi disebalik kejayaannya. Di atas permintaan yang tinggi, Kilang Perusahaan Tapai Ubi Wak Salikon telah didirikan di kampung Dr. Parjo. Beliau kemudiannya meneruskan kajian tentang potensi tapai ubi sebagai pencegah kepada penyakit lain serta bertugas sebagai pesyarah perubatan.

Watak dan perwatakan

1) Parjo

  • Watak utama
  • Merupakan anak sulung kepada Wak Salikon
  • Kini seorang pensyarah universiti
  • Seorang yang mempunyai iltizam yang tinggi dan bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu
  • Seorang yang tidak lupa untuk mengenang jasa emak dan bapanya

2) Wak Salikon

  • Bapa kepada Parjo
  • Seorang yang teliti dan gigih dalam melakukan kerja
  • Seorang yang berwawasan kerana mementingkan pendidikan anak-anak serta bercita-cita tinggi untuk mengembangkan perniagaannya

3) Emak

  • Emak kepada Parjo
  • Seorang yang teliti dan juga gigih dalam membantu perniagaan tapai suaminya
  • Seorang yang prihatin terhadap anak-anaknya

4) Profesor Haidar

  • Pensyarah kepada Parjo
  • Seorang yang berpandangan jauh dan percaya dengan kebolehan anak muridnya

Binaan Plot

1) Pengenalan

Parjo telah membantu emak dan bapanya menjual tapai ubi sehingga digelar “parjo Tapai” oleh rakan-rakannya. Walaupun dia berasa muak dengan panggilan itu, namun lama-kelamaan dia terbiasa dan tidak ambil kisah kerana dia ikhlas membantu emak dan bapanya mencari rezeki.

2) Perkembangan

Untuk membuat tapai ubi, prosesnya agak rumit. Proses tersebut bermula dengan proses mencabut ubi, kemudian mengopek kulit, memotong ubi tersebut, menjerang air dan merebus sehingga ubi matang untuk dimakan. Selain itu, banyak pantang larang lain yang perlu dipatuhi sepanjang proses membuat tapai ubi. Hasil daripada jualan tapai ubi telah membawa Parjo dan adik-adiknya berjaya sehingga menjejakkan kaki ke menara gading.

3) Perumitan

Profesor Haidar telah memberikan tugasan kepada Parjo untuk membuat kajian ke atas tapai ubi yang dikatakan dapat membantu mengurangkan serangan kanser. Proses kajian dilakukan dengan mengenal pasti jenis kanser. Kajian tersebut dilakukan dengan mengenal pasti jenis kanser, cara kanser merebak dan langkah untuk mengesan kanser sehingga kepada proses membuat uji kaji tindak balas tapai ubi terhada sel kanser

4) Klimaks

Hasil usaha dan ketelitian Parjo, dia berjaya membuktikan bahawa tapai ubi dapat mengurangkan risiko penyakit kanser. Terdapat satu bakteria yang terkandung dalam tapai ubi yang membawa manfaat kepada manusia untuk mencegah serangan kanser. Kajiannya telah mendapat pengiktirafan oleh universiti dan dibawa ke peringkat antarabangsa. Parjo berjaya memperoleh ijazah kedoktoran sekali gus mendapat gelaran Dr. Parjo.

5) Peleraian

Dr Parjo meneruskan kerjayanya dalam bidang pensyarah tetapi tetap meneruskan kajian tentang potensi tapai ubi sebagai pencegah alternatif kepada penyakit lain. Manakala permintaan tapai ubi Wak Salikon meningkat sehingga terbinanya sebuah kilang Perusahaan Tapai Ubi Wak Salikon.

Teknik Plot

  1. Saspens : Professor haidar menyebut nama Parjo ketika di kuliah untuk mengadakan projek bahasa semester ini
  2. Imbas kembali : Fikiranku melayang ke zaman kanak-kanak. Teringatkan aku akan bapa dan emak yang masih membuat tapai ubi sehingga kini
  3. Monolog : Ah betapanya penyakit kanser! getus hati kecilku
  4. Dialog : “Parjo, jangan lupa nanti hantar tapai ke pasar!” jerit bapa dengan loghat Jawanya yang pekat.

Latar

Latar masa

  • Waktu Pagi – Wak Salikon menjerit kepada Parjo agar tidak lupa untuk menghantar tapai ubi ke pasar dalam loghat Jawanya
  • Enam puluh hari – Bakteria UL4 tapai ubi didapati mampu bertahan pada suhu setinggi 121 darjah celcius selama lima belas minit dan suhu serendah 15 darjah celcius selama enam puluh hari
  • Permulaan semester – Professor Haidar memberitahu Parjo bahawa mereka ada projek untuk dijalankan
  • Selepas sembahyang isyak – Emak meneruskan kerjanya membuat tapai ubi yang dikatakan banyak pantang larangnya

Latar tempat

  • Rumah Wak Salikon – tempat di mana Emak dan Bapa Parjo menghasilkan tapai ubi yang memerlukan proses yang teliti
  • Kantin Sekolah – Parjo menghantar tapai ubi di kantin sekolah setiap hari sehingga dia dipanggil “Parjo Tapai”
  • Fakulti perubatan di universiti – Parjo melakukan kajian terhadap tapai ubi yang mampu mengurangkan risiko penyakit kanser
  • Kilang Tapai Ubi Wak Salikon – Wak Salikon dan Emak Parjo bekerja sebagai pemilik dan pengurus kilang pengeluaran tapai ubi tersebut selepas mendapat banyak tempahan

Latar masyarakat

  • Masyarakat yang melakukan sesuatu kerja dengan teliti. Emak dan bapa Parjo menghasilkan tapai dengan teliti mengikut proses dan pantang-larangnya
  • Masyarakat yang berpandangan jauh. Parjo belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya membuktikan bahawa tapai ubi dapat membantu mengurangkan risiko kanser
  • Masyarakat yang gigih berusaha untuk mencari rezeki. Emak parjo menyambung kerja menghasilkan tapai ubi selepas waktu Isya’ dan Parjo diingatkan oleh bapanya untuk mneghantar tapai ubi ke pasar di waktu pagi.
  • Masyarakat yang mengenang jasa ibu dan bapa. Parjo berusaha membuktikan kebaikan tapai ubi dan berjaya meningkatkan permintaan orang awam terhadap tapai ubi tersebut.
  • Masyarakat peniaga yang bijak mengembangkan perniagaan. Wak Salikon membuka kilang perusahaan tapai ubi selepas permintaan terhadap tapai ubinya semakin tinggi.

Gaya Bahasa

  1. Bahasa Sains : metastasis, bakteriosin, manihot esculanta
  2. Peribahasa : alah bisa tegal biasa
  3. Repitisi : Tapai! Tapai! Tapai!
  4. Sinkope : “Buat tapai ubi tak boleh bagitahu orang tahu!”
  5. Anafora : Aku akur dengan petua emak, Aku hanya diam
  6. Kata ganda : kemudian ubi iatu dipotong pendek-pendek dalam seinci setengah

Nilai

1) Nilai kesyukuran – Parjo menjawab soalan wartawan bahawa kejayaannya adalah hasil inspirasi daripada bapa dan emaknya yang menghasilkan tapai ubi.

2) Nilai kegigihan – Wak Salikon dan isterinya gigih mengusahakan perniagaan tapai ubi sehingga berkembang dan membuka sebuah kilang

3) Nilai mengenang jasa – Parjo belajar sehingga ke menara gading dan mendapat segulung ijazah berkat inspirasi ayah dan ibunya

4) Nilai tanggungjawab – Parjo membuat kajian ke atas tapai ubi untuk mengurangkan risiko kanser kerana ingin membantu masyarakat demi mencegah penyakit kanser

Pengajaran

1) Kita seharusnya tidak memandang rendah terhadap orang lain kerana walaupun mereka hanya menjual tapai misalnya, mereka mampu berjaya pada masa akan datang.

2) Kita hendaklah tabah mengharungi dugaan dan cabaran dalam kehidupan agar kita menjadi lebih baik serta mencapai kejayaan.

3) Kita mestilah mengutamakan pendidikan daripada perkara lain kerana melalui pendidikan, pelbagai kejayaan boleh dikecapi oleh seseorang.

4) Kita perlu bijak mengambil peluang dalam menggapai kejayaan seperti Wak Salikon yang membuka sebuah kilang perusahaan tapai ubi selepas permintaan meningkat

5) Kita hendaklah sentiasa melakukan yang terbaik dalam kehidupan. Parjo bersungguh-sungguh dalam melakukan kajian ke atas tapai ubi dan berjaya membuktikan tapai ubi dapat mengurangkan risiko seranagn kanser.

Koleksi Soalan Yang Berkaitan

1) Nyatakan latar masyarakat yang terdapat dalam cerpen ‘Legasi Tapai Ubi’ 

Berdasarkan cerpen ‘Legasi Tapai Ubi’ terdapat beberapa latar masyarakat yang diperoleh seperti masyarakat yang prihatin. Parjo yang prihatin terhadap penyakit kanser berazam untuk mencari penawar penyakit tersebut dengan melalui kajiannya. Selain itu, terdapat masyarakat yang bertanggungjawab seperti Wak Salikon yang menghantar anak-anaknya ke sekolah sehingga ke peringkat universiti untuk menjadikan mereka manusia yang berguna kepada keluarga dan masyarakat. Akhir sekali, masyarakat yang gigih berusaha apabila Wak Salikon dan isterinya berusaha menjalankan perniagaan tapai sehingga berjaya menghantar anak mereka sehingga ke universiti.

2) Senaraikan apakah tiga pantang larang membuat tapai ubi seperti yang dinyatakan di dalam cerpen Legasi Tapai Ubi

Proses untuk menghasilkan tapai ubi adalah rumit dan mempunyai pantang larang seperti tidak boleh memberitahu orang semasa membuat tapai ubi. Selain itu, tidak boleh membuat bising semasa menghasilkan tapai ubi dan elakkan daripada terkena kotoran atau minyak kerana dikhuatiri tapai tidak akan menjadi

3) Apakah dua perwatakan emak Parjo yang boleh dihuraikan 

Salah satu perwatakan emak ialah rajin kerana tidak pernah jemu untuk membuat tapai ubi demi keluarga dan anak-anaknya. Selain itu, perwatakan emak adalah teliti dalam membuat sesuatu kerja kerana menghasilkan tapai ubi yang rumit dan perlu mematuhi pelbagai pantang larang

4) Parjo gigih membantu ibu dan bapanya menjual tapai ubi. Apakah langkah-langkah yang boleh dilakukan untuk memastikan anak-anak sentiasa membantu ibu dan bapa?

Antara langkah yang boleh dilakukan untuk memastikan anak-anak sentiasa membantu ibu dan bapa adalah memberikan ganjaran dalam bentuk seperti pujian atau hadiah kepada mereka. Seterusnya ibu dan bapa juga boleh menyediakan jadual mengemas rumah kepada anak-anak dan menghadkan penggunaan telefon pintar anak-anak.

5) Apakah inisiatif yang boleh dilakukan seseorang peniaga untuk memastikan perniagaan terus maju dan berkembang?

Salah satu inisiatif yang boleh dilakukan oleh peniaga untuk memastikan perniagaan terus maju adalah dengan bersikap rasional dalam setiap aspek. Sikap ini dapat membantu diri untuk mengurus dengan lebih baik dan mengurangkan masalah yang berlaku. Selain itu, peniaga juga perlu bijak mengambil peluang untuk mempromosikan produk serta mengembangkan perniagaan pada waktu yang sesuai.

6) Pada pendapat anda, apakah langkah yang boleh dilakukan untuk mempromosikan makanan tradisional?

Antara langkah yang boleh dilakukan untuk mempromosikan makanan tradisional adalah dengan memastikan strategi pemasaran makanan tradisional lebih berkesan. Misalnya dengan mewajibkan setiap restoran untuk memastikan terdapat satu makanan tradisional sekurang-kurangnya untuk beroperasi. Selain itu, kaedah pembungkusan dan penjenamaan makanan tradisional perlu ditambah baik melalui kajian dan penyelidikan supaya ia kekal relevan sepanjang masa.

Diharapkan perkongsian berkaitan Cerpen Legasi Tapai Ubi : Sinopsis, Tema, Persoalan, Nilai & Pengajaran dapat membantu semua untuk membuat rujukan.

Related : proses membuat bising kerana dikhuatiri tapai tidak menjadi, langkah yang ingin membuktikan bahawa tapai ubi dapat membantu mengurangkan serangan kanser, profesor haidar telah memberi tugasan kepada parjo untuk membuat kajian bagi membuktikan bahawa tapai ubi dapat membantu mengurangkan serangan kanser, sebut sahaja tapai ubi sebagai pencegah alternatif kepada berbagai bagai jenis penyakit dengan tumpuan terhadap penyakit kanser
penghalang kanser telah berjaya mengiktirafnya, sebati dengan hasil jualan tapai ubi sebagai pencegah alternatif kepada berbagai bagai jenis penyakit dengan tumpuan terhadap penyakit kanser, panggilan itu parjo dan adik adiknya berjaya sehingga ke menara gading bermula dengan hasil jualan tapai ubi sebagai pencegah alternatif kepada berbagai bagai jenis penyakit dengan tumpuan terhadap penyakit kanser, proses membuat tapai ubi sebagai pencegah alternatif kepada berbagai bagai jenis penyakit dengan tumpuan terhadap penyakit kanser, pensyarah perubatan dan meneruskan kajian, profesor haidar memberitahu orang semasa membuat tapai, langkah yang perlu dipatuhi semasa membuat tapai ubi, meneruskan kajian tentang potensi tapai ubi sebagai pencegah alternatif kepada berbagai bagai jenis penyakit dengan tumpuan terhadap penyakit kanser, bermula dengan hasil jualan tapai ubi itulah parjo dan adik adiknya berjaya sehingga ke menara gading, universiti dan bapanya menjual tapai ubi sehingga dipanggil
meneruskan kajian tentang potensi tapai ubi sebagai pencegah alternatif kepada pelbagai
perniagaan tapai ubi itulah parjo dan adik adiknya berjaya
jenis penyakit dengan hasil jualan tapai ubi itulah parjo dan adik adiknya berjaya
memotong pendek menjerang air merebus
terbinanya kilang perusahaan tapai ubi wak salikon telah didirikan di kampung dr parjo