Antara kaedah atau teknik pembelajaran adalah dengan menyediakan nota-nota ringkas sambil mengulang kaji pelajaran. Lebih-lebih lagi apabila melibatkan subjek yang menguji kemahiran memori para pelajar. Sebagai rujukan, di bawah dikongsikan nota-nota ringkas Cerpen Hipertensi merangkumi Sinopsis, Tema, Persoalan, Watak Perwatakan, Binaan Plot, Latar, Gaya Bahasa, Nilai & Pengajaran.
Cerpen Hipertensi karya Illias Zaidi ini dipetik daripada Antologi Tingkatan 5 Sejadah Rindu. Penulis yang berasal dari negeri Perak ini merupakan seorang wartawan dan penulis telah melibatkan diri dalam dunia penulisan selama 40 tahun. Karya beliau dipilih sebagai bahan pengajaran di sekolah kerana penulis ini mempunyai lebih 230 karya penulisan dan berpotensi tinggi untuk menjadi bahan pembelajaran pelajar di sekolah.
Nota Cerpen Hipertensi : Sinopsis, Tema, Persoalan, Watak Perwatakan, Binaan Plot, Latar, Gaya Bahasa, Nilai & Pengajaran
Di bawah dikongsikan nota berkaitan Cerpen Hipertensi : Sinopsis, Tema, Persoalan & Pengajaran untuk rujukan semua. Pelajar juga boleh merujuk soalan-soalan sebagai latihan menjawab peperiksaan atau pentaksiran kelak.
Sinopsis
Aiman menekup wajahnya dengan jari-jemarinya. Dia mengintip lereng bukit dihadapannya melalui celah-celah jari. Dia cuba beralih arah tetapi lereng bukit juga yang dia nampak. Lereng bukit itu runtuh dan ada yang menimpa banglo di lereng bukit itu akibat kerja-kerja penerokaan dan pembangunan. Aiman merenung pula buah mempelam yang jatuh secara tiba-tiba dihadapannya. Aiman yakin bahawa dia tidak akan berasa hairan tentang mempelam itu sekiranya dia lahir satu zaman dengan Newton pada tahun 1642 kerana sudah faham tentang teori graviti.
Aiman teringat ketika dia masih bersekolah dahulu, Cikgu Faridah mengajar tentang Teori Graviti. Berlaku perdebatan idea antara aiman dengan Cikgu Faridah berhubung dengan teori graviti yang diperkenalkan oleh Isaac Newton. Aiman berbangga dengan namanya Aiman Aqil yang bermaksud insan yang beriman dan berakal. Cikgu Faridah menggelar Aiman sebagai profesor kerana Aiman murid yang pintar dan mempunyai IQ yang tinggi di dalam kelasnya. Dia juga mempunyai daya fikir yang tinggi dan lebih matang. Walaubagaimanapun, sikap Aiman jauh berbeza dengan dua orang adik perempuannya. Adik-adiknya mudah dibentuk oleh ibu bapanya tetapi Aiman suka memberontak dan marah akan suasana persekitarannya. Aiman selalu ponteng sekolah ketika dia berada di sekolah rendah kerana kerap bosan dan jemu. Sukatan pelajaran bertahap rendah tidak setanding dengan pemikirannya. Aiman cepat menyiapkan latihan yang diberikan oleh guru dan suka mengacau rakan-rakannya yang kurang bijak menyelesaikan masalah matematik. Perbuatan suka merayau dan mengganggu murid lain ditegur oleh guru sekelasnya.
Sikap nakal Aiman gemar menyakat disekolah telah dilaporkan kepada ibu dan bapanya. Ayah Aiman bertindak memukul dan merotan anaknya. Aiman yang degil pula telah memonteng sekolah selama seminggu sebagai tanda protes. Kesempatan itu digunakan oleh Aiman untuk berhalusinasi tentang dunia angkasa lepas yang ingin diterokainya. Dia membayangkan dirnya sudah dewasa dan mempunyai ijazah pertama dalam bidang aeroangkasa. Pokok kelapa dara yang berada di penjuru banglonya dilihat sebagai kapal angkasa yang akan membawanya ke angkasa lepas. Dia sentiasa mengambil kesempatan untuk mewujudkan halusinasi futuristik penuh cabaran. Aiman nekad untuk memanjat pokok tersebut. Dia membayangkan dirinya menjalani latihan intensif di bawah program aeroangkasa Rusia serta siaran langsung perlepasan kapal angkasa yang dinaikinya walaupun mengetahui akan dipukul oleh ayahnya.
Aiman berasa dia semakin menghampiri Stesen Angkasa Antarabangsa dan berasa bangga apabila memikirkan jutaan rakyat menyaksikan siaran langsung pengembaraannya ke angkasa lepas dan ke bulan seperti yang dilakukan oleh idolanya, Neil Armstrong. Aiman tidak jadi berlepas ke bulan dari Stesen Angkasa Antarabangsa kerana dia perlu membuat kajian saintifik. Dia perlu mempelajari pelbagai maklumat tentang kepentingan matahari sebagai sumber tenaga kepada manusia di bumi. Kini Aiman sudah berada di bulan yang mempunyai kuasa graviti yang lebih lemah daripada di bumi. Aiman terapung-apung di atmosfera tanpa udara. Aiman mendapati keadaan di bulan adalah seperti di bumi yang mempunyai padang pasir yang luas, kawah besar, lurah, dataran dan gunung-ganang.
Aiman melihat kawasan gelap dihadapannya yang digelar “lautan” walaupun kajian membuktikan tiada air dan udara di bulan. Aiman yakin tiada sesiapa dapat berpindah dan hidup di bulan. Aiman juga dikejutkan oleh kewujudan kawah besar mempunyai darjah kepanasan tahap tinggi tidak jauh dari situ. Satu suara halus pula kedenganran di telinga Aiman menyebabkan timbul rasa sayu hatinya. Dia ingin pulang ke bumi dengan cepat. Pucuk pokok kelapa dara itu mula kelihatan di mata Aiman.
Aiman melihat ibunya dan ayahnya hadir untuk menyambut kepulangannya dari Stesen Angkasa Antarabangsa dan bulan. Aiman terfikir untuk terjun dari pokok kelapa itu tidak jadi. Aiman terbayangkan ibunya yang tegas dan ayahnya yang garang dalam menjadualkan rutin hidupnya seharian. Aiman tidak mengharapkan layanan yang kasar daripada ayahnya. Akibat terlalu kerap ditampar di pipi, Aiman menjadi gagap dan dia bersyukur tahap gagapnya tidak terlalu serius. Ayahnya yang mempunyai latar belakang kejuruteraan mekanikal dan ibunya dalam bidang geologi mungkin tidak tahu tentang masalah gagapnya. Dia teringat bisikan sewaktu berhalusinasi di bulan yang menyuruhnya mendekatkan diri kepada Allah. Jauh di sudut hati aiman dia memanjatkan doa dan harapan ke hadrat ilahi. Aiman nekad untuk tidak mahu lagi melayani imaginasi dunia aeroangkasanya.
Tema
Cerpen ini bertemakan keinginan yang tinggi oleh seseorang individu terhadap bidang sains angkasa tetapi tidak diberi perhatian dan peluang oleh orang sekelilingnya. Aiman Aqil sangat berminat untuk mendalami bidang aeroangkasa sehingga dia berhalusinasi dan dimarahi oleh kedua ibu dan bapanya kerana sering bersikap pelik dan tidak seperti kebiasaan.
Persoalan
1) Tanggungjawab ibu dan bapa terhadap anak-anaknya.
- Rasional dalam mendidik anak-anak terutamanya Aiman yang sedikit berbeza
2) Mengenalpasti potensi anak-anak dan menyediakan ruangan yang baik untuknya
- Aiman sentiasa mengambil kesempatan untuk mewujudkan halusinasi futuristik penuh cabaran
3) Bijaksana dalam menyelesaikan masalah
- Bapa Aiman berusaha merawat masalah kegagapan anaknya dengan menghantarnya ke kelas terapi dan latihan intensif
4) Perasaan dendam akibat kesalahan masa lampau
- Aiman berdendam dengan bapanya yang menampar Aiman.
5) Adab ketika menuntut ilmu
- Peristiwa percanggahan pendapat antara aiman dengan cikgu faridah berhubung dengan teori graviti yang diperkenalkan oleh isaac newton
6) Kasih sayang seorang ibu terhadap anaknya
7) Pengorbanan seorang guru terhadap anak murid
Watak dan perwatakan
1) Aiman Aqil
- Watak utama yang berumur hampir 20 tahun
- Merupakan anak sulung dan mempunyai dua orang adik bernama Fadilah Fatnin dan Azilah Atiqah
- Seorang yang bijaksana dan pintar
- Seorang yang kuat berangan dan berhalusinasi untuk menjadi seorang angkasawan
- Seorang yang suka menyakat orang lain dan memberontak
2) Bapa Aiman
- Bekerja sebagai seorang jurutera mekanikal
- Seorang yang garang dan bengis
- Seorang yang penyayang kerana akhirnya risau akan keadaan anaknya Aiman dan berusaha merawat masalah gagapnya
3) Ibu Aiman
- Bekerja sebagai seorang saintis dalam bidang geologi
- Seorang yang taat dan patuh kepada suaminya
- Seorang yang penyayang kerana kesian melihat anak-anaknya dirotan oleh suaminya
- Seorang yang bertanggungjawab apabila menyediakan makanan seimbang untuk anaknya membesar dengan sihat
4) Cikgu Faridah
- Guru Sains di sekolah Aiman
- Seorang yang dedikasi dengan memastikan pengajarannya difahami oleh semua muridnya
- Seorang yang bijak dalam melihat potensi anak muridnya
- Seorang yang sensitif apabila wajahnya berubah ketika Aiman Aqil mempertikaikan Teori Graviti yang diajarnya, berlaku dialog antara Aiman dengan Cikgu Faridah tentang teori graviti.
Binaan Plot
Permulaan
Cerpen ini bermula apabila Aiman berehat di rumah banglo milik keluarganya. Dia melihat ke arah lereng bukit berdekatan rumahnya yang sudah gondol akibat kerja-kerja penerokaan dan pembangunan tanah.
Perkembangan
Apabila buah mempelam jatuh didepannya, Aiman teringat akan teori graviti oleh Isaac Newton. Di sekolah, Aiman berdebat dengan cikgu Faridah tentang teori tersebut sehingga mencetuskan riuh di dalam kelas. Cikgu Faridah menggelar Aiman sebagai profesor kerana kepintarannya melebihi berbanding murid-murid lain.
Perumitan
Disebabkan silibus sekolah rendah yang tidak setanding dengan kepintarannya, Aiman berasa bosan dan kerap ponteng sekolah. Aiman juga gemar menyakat rakan-rakannya yang lambat menyiapkan latihan sehinggakan ditegur oleh guru kelasnya dan beliau melaporkan perkara itu kepada ibu bapa Aiman. Selepas perlakuan Aiman dilaporkan kepada ibu bapa Aiman dan Aiman telah dirotan oleh bapanya sehingga bahagian pinggulnya lebam.
Klimaks
Daya imaginasi Aiman terhadap dunia penerokaan sains angkasa lepas begitu kuat walaupun umurnya meningkat remaja. Akibatnya, Aiman sering ditampar oleh bapanya sehingga menjadi gagap. Disebabkan perkara itu bapa Aiman menghantar anaknya ke latihan intensif dan terapi
Peleraian
Aiman akhirnya sedar daripada imaginasi-imaginasinya selama ini. Perkara ini berlaku kerana dia terdengar satu bisikan yang mengajaknya berpijak di bumi yang nyata dan mendekatkan diri kepada Tuhan. Aiman berasa hairan dan insaf akan perilakunya dan mendoakan impian dan harapan ke hadrat Ilahi.
Teknik Plot
- Dialog : Aiman dan Cikgu Faridah berdialog dengan teori graviti yang diperkenalkan oleh Isaac Newton
- Imbas muka : Aiman membayangkan dirinya sudah lulus dalam peperiksaan pada peringkat ijazah dalam bidang aeroangkasa
- Imbas kembali : Aiman teringat kembali kisahnya ketika suka memonteng kelas di sekolah rendah dengan alasan bosan dengan pengajran guru di dalam kelas
- Monolog Dalaman : Aiman bermonolog bahawa dia tidak akan berasa hairan dengan teori graviti oleh Isaac Newton
- Pemerian : Penulis memerihalkan keadaan Aiman sewaktu dilahirkan
- Saspens : Peristiwa percanggahan pendapat antara Aiman dan Cikgu Faridah menimbulkan perasaan ingin tahu dalam kalangan pembaca tentang penyelesaian pendapat mereka
Latar
Latar tempat
- Rumah banglo Aiman : Aiman dipukul, dirotan dan dimarahi oleh bapanya kerana poneng sekolah
- Pokok kelapa dara : Pokok yang berada di penjuru banglo rumah Aiman menjadi tempat Aiman berhalusinasi
- Sekolah : Aiman bersoal jawab dengan Cikgu Faridah berkaitan teori graviti
- Stesen Angkasa Antarabangsa : Aiman berhalusinasi untuk ke angkasa dan bekerja di angkasa lepas
Latar masa
- Waktu tengah hari : Aiman Aqil bersoal jawab dengan Cikgu Faridah tentang teori graviti dan perkara lain yang berkaitan
- Waktu malam : Aiman mengganggu adiknya sedang membuat kerja rumah dengan menyindir mereka kerana tidak dapat menjawab soalan matematik
- Zaman sekolah rendah : Aiman Aqil menyakat rakan-rakannya selepas menyiapkan latihan yang diberikan oleh cikgu semasa sesi pembelajaran
Latar masyarakat
- Masyarakat yang bijaksana dalam bidang yang sains
- Masyarakat yang berpendirian tegas
- Masyarakat yang bercita-cita tinggi
- Masyarakat yang garang dan bengis
- Masyarakat yang bertanggungjawab terhadap ahli keluarga
Gaya Bahasa
- Diksi : orbit, aeroangkasa, planet
- Bahasa Inggeris : IQ, genius
- Metafora : dedaun kemaafan, tasik hati
- Personifikasi : Tamparan selalu singgah di pipiku
- Repitisi : Tidak ada udara, Tidak ada air
- Simile : Dirinya semacam terpenjara ratusan tahun lamanya, Terlompat-lompat seperti beruk dan kera di bulan
- Sinkope : betapa tak bangganya?
Nilai
- Tanggungjawab : Bapa Aiman bertanggungjawab mendapatkan rawatan intensif dan latihan terapi untuk anaknya Aiman yang gagap
- Bijaksana : Aiman dapat menyelesaikan masalah matematik Tingkatan 5 walaupun baru bersekolah rendah
- Dedikasi : Cikgu Faridah menerangkan teori graviti dengan penuh dedikasi kepada aiman dan rakan sekelasnya.
- Kasih sayang : Ibu Aiman amat menyayangi anak-anaknya dan berasa sedih apabila Aiman dirotan oleh bapanya
- Insaf : Aiman akhirnya insaf akan kesilapan yang terlalu berimaginasi dan berdoa kepada Allah untuk kembali dalam kehidupan sebenar
- Sabar : Cikgu Faridah bersabar melayani anak-anak muridnya untuk memahami pembelajaran mereka
Pengajaran
- Kita seharusnya menyayangi ahli keluarga kita dengan penuh kasih sayang dan bukan kemarahan atau kekasaran
- Kita perlu bertanggungjawab ke atas semua amanah yang digalas seperti amanah menjaga anak-anak sebagai ibu dan bapa
- Kita mesti menghormati guru yang berjasa mendidik anak bangsa dengan ilmu pengetahuan
- Kita hendaklah bersabar sekiranya menghadapi masalah dan mendekatkan diri kepada Tuhan
- Kita seharusnya berdedikasi dan komited dalam menjalankan tugas atau pekerjaan kita
- Kita perlu memastikan kesihatan fizikal dan mental kekal seimbang supaya kehidupan yang berkualiti terjamin
Soalan Latihan
1) Huraikan satu perwatakan Aiman yang terdapat dalam Cerpen Hipertensi?
Aiman merupakan watak utama di dalam cerpen Hipertensi yang menunjukkan watak seorang yang bercita-cita tinggi. Aiman berhasrat untuk menjadi seorang angkasawan sehingga berhalusinasi sehingga ke bulan. Selain itu, Aiman juga seorang yang bersyukur kerana dia melihat Paul Broca yang lebih teruk gagapnya berbanding dirinya.
2) Pada pendapat anda, apakah kelebihan yang dapat diperoleh Aiman melalui latihan intensif dan terapi? Nyatakan tiga kelebihan tersebut?
Aiman telah mengikuti latihan intensif dan terapi untuk merawat gagapnya dan kelebihan yang diperoleh adalah ia membantu menambah keyakinan diri AIman untuk berkomunikasi dnegan orang lain. Aiman juga menggunakan kaedah rawatan dan pemulihan yang diiktiraf oleh pihak berkuasa sekaligus mempercepatkan proses pemulihan rawatan percakapannya.
3) Pada pendapat anda, bagaimana ibu dan bapa Aiman Aqil dapat mengurangkan tabiatnya yang suka berhalusinasi?
Pada pendapat saya, ibu dan bapa Aiman boleh mengurangkan anaknya berhalusinasi dengan berinteraksi dengan lebih baik bersama anaknya. Apabila komunikasi yang baik dapat dijalinkan, ibu dan bapa Aiman akan lebih memahami anaknya dan tahu untuk melakukan perkara yang sepatutnya. Selain itu, mereka boleh memastikan Aiman mengisi masa lapang dengan aktiviti yang disukai seperti membaca buku, beriadah dan sebagainya.
4) Huraikan persoalan-persoalan yang terdapat dalam cerpen yang telah anda kaji.
Cerpen yang saya kaji adalah cerpen Hipertensi yang menimbulkan banyak persoalan. Antaranya adalah persoalan tanggungjawab ibu bapa terhadap anak-anak mereka. Aiman dikurniakan bapa yang garang semasa membesar dan bersikap kasar untuk mendidiknya sehingga merotan kerana membuat perkara yang tidak baik di sekolah. Selain itu, terdapat juga persoalan tentang memandang rendah terhadap keupayaan orang lain. Aiman suka menyakat rakan sekelasnya yang lambat menyelesaikan tugasan mata pelajaran matematik sehingga ditegur oleh guru sekelasnya.
5) Pada pendapat anda, apakah insentif-insentif untuk mengembangkan potensi murid-murid yang cerdik seperti Aiman Aqil?
Pada pengetahuan saya, antara insentif untuk mengembangkan potensi murid-murid yang cerdik seperti Aiman Aqil adalah dengan menyertai program Permata Pintar yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Selain itu, murid yang cerdik boleh menyertai kurikulum persekolahan swasta yang bersesuaian dan tidak bergantung kepada persekolahan awam. Akhir sekali, murid-murid yang cerdik ini boleh memohon biasiswa khas untuk menyambung pelajaran di institusi pendidikan terkemuka di dalam atau di luar negara.
6) Apakah kesan kegiatan pembangunan yang dilakukan oleh manusia terhadap alam sekitar?
Antara kesan kegiatan pembangunan oleh manusia terhadap alam sekitar adalah ancaman kepupusan flora dan fauna kerana habitat mereka telah dimusnahkan. Selain itu, pembangunan juga membuka risiko terhadap bencana alam seperti banjir kilat dan tanah runtuh.
Semoga perkongsian nota-nota Cerpen Hipertensi : Sinopsis, Tema, Persoalan & Pengajaran membantu semua.
Senarai Tajuk Kecil Artikel